Perangkap syaitan
Sabtu, 22 Mei 2010
Perangkap syaitan – Awasi 10 pintunya
ALLAH berfirman yang bermaksud : Syaitan memberikan janji yang membangkitkan angan-angan kosong kepada mereka. Walhal syaitan itu tidak menjanjikan kepada mereka kecuali tipu daya belaka. Tempat mereka itu ialah neraka jahanam dan mereka tidak memperoleh tempat untuk lari daripadanya. ( An-Nisa: 120-121).
Keterbukaan manusia mengundang kehadiran syaitan ke dalam diri masing-masing sebenarnya ada kaitannya dengan sifat mazmumah yang diamalkan dalam kehidupan seharian.
Melalui pelbagai jenis sifat mazmumah itulah sama ada dalam keadaan kita sedar atau tidak, kita sebenarnya telah menyediakan ruang kepada syaitan untuk menapak dalam diri.
Apabila syaitan sudah meraja dalam diri, seseorang individu itu akan sanggup melakukan apa jua perbuatan keji dan mungkar kerana keinginan nafsu akan menjadi sebati dengan sifat jahat syaitan itu sendiri.
Hati, organ istimewa kurniaan Allah kepada manusia pada saat dan waktu itu juga akan mula goyah, apabila sedikit demi sedikit syaitan durjana mula merayap untuk menguasai tunjang di dalam badan manusia tersebut.
Berlumba-lumbalah nanti para syaitan untuk memenangi dan menguasai hati manusia.
Mereka akan berusaha sedaya upaya menawan hati tersebut dan memujuk nurani manusia untuk melanggar segala perintah Allah.
Beruntunglah golongan manusia yang berupaya menangkis godaan tersebut. Mengikut para ulama, syaitan akan menguasai tubuh badan manusia melalui sepuluh pintu:
1) Melalui sifat sombong dan angkuh. Dua sifat inilah yang amat mudah tersemai dan menyubur dalam diri manusia.
Ia berpunca daripada keegoan manusia itu sendiri yang lazimnya akan mudah hanyut ketika dilimpahi kemewahan dan kesenangan.
2) Kedua, melalui sifat bakhil dan kedekut. Setiap harta benda dan kemewahan yang diperoleh adalah kurniaan Allah yang seharusnya dibelanjakan ke jalan yang haq.
Ia boleh digunakan untuk membantu kesempitan hidup orang yang memerlukan sama ada melalui kewajipan berzakat atau bersedekah.
3) Ketiga, melalui sifat takbur dan bongkak. Sifat ini selalunya bertapak dalam diri seseorang manusia yang merasakan dia sudah memiliki segala-galanya dalam hidup ini.
Mereka terlupa bahawa kesenangan dan kenikmatan yang dikurniakan itu boleh ditarik oleh Allah pada bila-bila masa sahaja.
Allah Taala berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang-orang yang takbur. ( An-Nahl:23)
4) Sifat khianat. Khianat yang dimaksudkan bukan sahaja melalui perbuatan merosakkan sesuatu yang menjadi milik orang lain, tetapi juga mengkhianati hidup orang lain dengan tidak mematuhi segala bentuk perjanjian, perkongsian dan sebagainya.
5) Sifat tidak suka menerima ilmu dan nasihat. Junjungan Rasulullah s.a.w. selalu menasihati para sahabat baginda agar menjauhkan diri masing-masing daripada menjadi golongan manusia yang dibenci Allah iaitu golongan yang tidak suka diri mereka dinasihati atau mendengar nasihat orang lain.
6) Melalui sifat hasad. Perasaan hasad dengki selalunya akan diikuti dengan rasa benci dan dendam yang berpanjangan. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: Hindarilah kamu daripada sifat hasad kerana ia akan memakan amalan kamu sebagaimana api memakan kayu yang kering (Riwayat Bukhari dan Muslim).
7) Melalui sifat suka meremehkan orang lain. Sifat ego manusia ini selalunya akan lahir apabila seseorang individu itu merasakan dirinya sudah sempurna jika dibandingkan dengan orang lain.
Orang lain dilihat terlalu kecil dan kerdil jika dibandingkan dengan apa yang dimilikinya. Abu Umamah pernah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: Tiga kelompok manusia yang tidak boleh dihina kecuali orang munafik ialah orang tua Muslim, orang yang berilmu dan imam yang adil. (Riwayat Muslim).
Kelapan, melalui sifat ujub atau bangga diri. Menurut Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: Jangan kamu bersenang lenang dalam kemewahan kerana sesungguhnya hamba Allah itu bukan orang yang bersenang-senang sahaja. (Riwayat Abu Naim daripada Muaz bin Jabal)
9) Melalui sifat suka berangan-angan. Islam adalah anti kemalasan. Orang yang berat tulang untuk berusaha bagi mencapai kecemerlangan dalam hidup akan dipandang hina oleh Allah dan manusia.
Mereka lebih gemar berpeluk tubuh dan menyimpan impian yang tinggi tetapi amat malas berusaha untuk memperolehnya.
10) Kesepuluh, melalui sifat berburuk sangka. Seseorang yang suka menuduh orang lain melakukan sesuatu kejahatan tanpa diselidik terlebih dulu amat dicela oleh Islam.
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Nanti akan ada seseorang berkata kepada orang ramai bahawa mereka sudah rosak. Sesungguhnya orang yang berkata itulah sebenarnya yang telah rosak dirinya. (Riwayat Muslim)
Dari blog ARTIKEL HANGAT
0 komen:
Catat Ulasan