Mitos Turun-Temurun Panaskan Enjin Kereta Sebelum Jalan Hanya
Jumaat, 13 April 2012
(sekadar gambar hiasan)
Upacara memanaskan enjin adalah antara amalan yang sinonim dengan hampir
semua pengguna kenderaan di seluruh negara. Tak kiralah sama ada
pemandu kereta, lori, van, bas sekolah, kereta kebal, motosikal berkuasa
rendah dan sebagainya termasuk helikopter.
Biasanya amalan ini dilakukan
pada waktu pagi sebelum ke tempat kerja atau ke sebarang destinasi. Ada
yang memanaskan enjin selama satu minit. Ada yang memanaskan selama 5
minit. Ada yang keluar rumah, hidupkan enjin kereta, masuk rumah,
sarapan, pakai stokin, pakai kasut, kunci pintu dan baru terhegeh-hegeh
masuk kereta untuk memulakan perjalanan. Makan masa dalam 15 minit juga.
Golongan kaki panaskan enjin seperti itumesti bangun awal. Semua ini
dilakukan kononnya demi untuk menjaga enjin. Demi untuk memastikan
jangkahayat enjin panjang dan sentiasa berprestasi tip top.
Soalnya sekarang adakah
pemanasan enjin ini perlu dilakukan? Apa kebaikannya dan apa
keburukannya? Lagi satu kalau anda bijak laksana, siapa orang yang
mula-mula panaskan enjin kenderaan di Malaysia ni?
Di negara-negara yang
mementingkan penjagaan alam sekitar untuk kehidupan dunia yang lebih
baik di masa mendatang, pemanasan enjin adalah tidak digalakkan dan
sesetengahnya ditegah. Negara Kanada telah memulakan kempen nasional
mereka untuk mengurangkan pemanasan enjin yang tidak diperlukan. Kempen
yang sama turut dilakukan di Jepun , United Kingdom dan di Amerika
Syarikat. Ada di antaranya sudah menetapkan satu undang-undang bahawa
enjin kenderaan tidak boleh dibiarkan hidup dalam keadaan idling
melebihi 5 minit atau 3 minit bagi kenderaan ringan. Kenapa perkara ini
ditegah?
The Canadian Office of Energy
Efficiency telah bersetuju bahawa cara yang terbaik untuk memanaskan
enjin adalah dengan memandunya. Walaupun suhu persekitaran berada di
takat -20 darjah selsius, mereka menyarankan enjin kenderaan hanya perlu
dipanaskan pada sekitar 15-30 saat sebelum meluncur ke jalanraya.
Bayangkanlah berapa agaknya suhu di Malaysia?
Salah seorang jurutera
penghantaran kuasa di Ford, Amerika Syarikat iaitu Les Ryder berkata,
“Engines run best at their design temperature”. Berdasarkan kenyataan
Encik Les Ryder itu, operasi enjin yang cekap, bersih dan efisien hanya
berlaku pada suhu enjin di tahap 85-90 darjah selsius. Oleh itu
membiarkan enjin anda di dalam keadaan idling adalah bukan cara yang
terbaik atau terpantas untuk memanaskan enjin. Lebih baik jika
memandunya atau dengan kata lain stylel Amerika, lagi ‘gentle’ kalau
pandu terus. Jadi berikut antara bahaya atau keburukkan dalam amalan
yang tidak betul ini.
DINDING SILINDER CEPAT HAUS
Tabiat memanaskan enjin atau
membiarkan enjin berada di dalam keadaan pepura (idling) dikatakan
adalah satu perkara yang tidak baik dan berfaedah. Pertamanya ia
menyebabkan pembakaran bahanapi tidak dapat dilakukan dengan sempurna.
Pembakaran tidak lengkap membawa kesan buruk kepada dinding silinder.
Sisa bahan api yang tidak terbakar akan turun ke dinding silinder lalu
membersihkan minyak pelincir yang berada di dinding silinder. Maka apa
yang terjadi adalah dinding silinder akan mengalami kehausan akibat
tiada pelinciran di bahagian sepatutnya. Bahan api yang tidak terbakar
juga boleh jadi akan turun perlahan-lahan ke bahagian takung minyak
pelincir. Apabila ia bergaul, sifat minyak pelicir akan berubah dan
hilang kecekapannya.
PALAM PENCUCUH MENJADI KOTOR
Di samping itu, tabiat ini
juga boleh mendatangkan masalah kepada palam pencucuh. Ia akan menganggu
suhu kerja palam pencucuh. Palam pencucuh yang tidak berada di suhu
sepatutnya akan menjadi kotor. Oleh yang demikian ia akan mendatangkan
kesan kepada peningkatan bahan api sebanyak 5%.
PAIP EKZOS CEPAT BERKARAT
Pada waktu pagi, sesetengah
kenderaan biasanya akan mengeluarkan wap dari ekzos. Wap itu bukanlah
wap minyak daripada enjin yang mengalami kehausan. Ia adalah wap air
normal yang terhasil daripada enjin yang sejuk. Jadi apabila terlalu
lama enjin dibiarkan dalam keadaan pepura (idling), bertambah lama untuk
enjin mengambil masa untuk panas. Ini menyebabkan wap air akan sentiasa
berada di dalam sistem ekzos yang mana akan menjadikan paip ekzos cepat
berkarat.
FUNGSI ENJIN GAGAL BERFUNGSI DENGAN BAIK
Kenderaan pada masa kini
biasanya akan terdapat sebuah komponen yang dinamakan Catalytic
Converter pada sistem ekzosnya. Kereta-kereta Malaysia pun dah mula guna
pakai. Komponen ini disediakan bertujuan untuk mengurangkan tahap
toksik yang terdapat pada sisa atau hasil pembakaran sebuah enjin
pembakaran dalaman. Antara kerja yang dilakukan komponen ini termasuklah
menukarkan karbon monoksida kepada karbon dioksida, mengurangkan
nitrogen oksida kepada nitrogen dan air, mengoksidakan hidrokarbon yang
tidak terbakar kepada karbon dioksida dan air dan sebagainya. Jadi
faedah yang boleh diperolehi daripada komponen ini ialah pencemaran
udara dapat diminimakan.
Walaubagaimana pun, masalah
yang timbul jika enjin berada di dalam keadaan pepura (idling), komponen
ini tidak berfungsi. Maka enjin dengan sesuka hati dapat mencemarkan
udara. Komponen ini akan berfungsi hanya pada tahap suhu 400 – 800
darjah selsius yang dimana adalah pada satu kadar suhu yang sangat panas
berbanding enjin. Semasa suhu itu ia akan bertindak menukar bahan
tercemar dari sisa pembakaran enjin kepada bahan yang kurang berbahaya
kepada alam sekitar. Bagi memastikan komponen ini cepat dan dapat berada
di suhu yang mana ia boleh beroperasi, anda perlulah memandu. Bukan
meninggalkan kereta hidup terbiar. Semakin lama enjin dibiarkan dalam
keadaan idling maka semakin lama juga Catalytic Converter ini tidur dan
tak bekerja. Anda rasa apa agaknya yang terjadi kepada alam sekitar?
MEMBAZIR DAN MENCEMARKAN
Sekarang kita sudah
mengetahui serba sedikit tentang keburukan memanaskan enjin. Ada tiga
kesan yang penting di situ iaitu membazir bahan api, mencemarkan alam
sekitar dan memunah wang ringgit. Mari kita lihat apa pula kebaikkan
memanaskan enjin. Khabar-khabar angin mengatakan memanaskan enjin juga
ada faedahnya. Salah satu perkara yang disebut adalah semasa enjin
ditinggalkan di dalam satu tempoh yang agak lama, iaitu mungkin sehingga
satu malam, bahan pelinciran akan turun meninggalkan komponen yang
bergerak di dalam enjin ke bahagian bawah enjin.
Jadi apabila kita mula
menghidupkan enjin, kita perlu mengambil sedikit masa untuk
memanaskannya supaya dapat memberi peluang bahan pelinciran itu naik dan
beredar di setiap inci dan penjuru komponen dalaman enjin. Ya perkara
ini benar. Tetapi apa yang anda perlu tahu bahawa setiap enjin telah
dilengkapkan dengan satu komponen yang dipanggil pam minyak pelincir.
Pam minyak pelincir ini dijana oleh pusingan crankshaft. Makin laju
crankshaft berpusing maka makin cepat pam bahan api berpusing seterusnya
mengagihkan minyak pelincir ke bahagian dalaman enjin. Untuk memastikan
crankshaft ini berpusing laju apa yang anda perlu buat? Adakah dengan
hanya membiarkan enjin dalam keadaan idling?
Kesimpulannya di sini tabiat
memanaskan enjin di waktu pagi yang kononnya lagi lama lagi bagus adalah
satu mitos yang tidak diketahui hujung pangkalnya. Perkara ikut-ikutan
seperti ini bukanlah satu perkara yang asing bagi kita rakyat Malaysia.
BMW sendiri pun cukup pantang kalau orang warm up enjin keretanya. Sebab
mereka tahu jika enjin cepat rosak nanti mesti pelanggan mengadu. Sebab
itu kalau boleh BMW nak lepas hidup saja enjin kereta, terus pandu
cepat-cepat. Jangan tunggu-tunggu. Ini tidak, siap boleh masuk rumah
pekena roti dua tiga keping, layan teh dulu sambil sembang-sembang
dengan isteri tapi enjin kereta terbiar hidup.
Seperkara lagi yang boleh
membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar dan pembaziran bahan api
adalah dengan mematikan enjin jika kenderaan anda tidak bergerak. Kalau
tunggu kekasih turun LRT, berhenti tepi jalan bergayut dengan telefon,
tunggu bini masuk pasar mini beli barang dapur, dan tunggu anak balik
sekolah depan pagar sekolah bawa bawalah matikan dulu enjin. Perkara itu
tidak memberi sebarang faedah langsung malah boleh menyebabkan masalah
pencemaran udara dan alam sekitar serta pembaziran wang ringgit.
Sedarkah anda di dalam tempoh setahun, sikap mengurangkan enjin
dibiarkan hidup dalam keadaan idling ini mampu menjimatkan beratus ribu
juta ringgit dan mampu menghentikan perlepasan jutaan tan gas rumah
hijau ke atmosfera yang membawa pemanasan global.
sumber
0 komen:
Catat Ulasan