.:SELAMAT DATANG.:

Click Me~
"Selamat Datang ke Blog Tumpang Lalu "

Ketabahan isteri-isteri sukarelawan Malaysia misi Lifeline 4 Gaza (LL4G)

Sabtu, 5 Jun 2010

“Jangan bawa pulang mayat abang, Jangan bawa pulang mayat abang”, ucapan itu masih terngiang-ngiang. Malah bila berita konvoi Flotilla Kemanan diserang, ia menjadi semakin kuat memukul gegendang telinga.

 Demikianlah amanat dan kata-kata terakhir suami kepada Puan Nurdalela Abdul Alim,  Abdul Halim Ridzuan (wakil Muslim Care) sebutkan tatkala meninggalkan mereka sekeluarga pada 17 Mei lalu.
Perkara itu didedahkannya dalam sidang akhbar yang inisiatifnya dibuat CMT selepas kapal utama itu dibedil Israel. Penuh sesak bilik sidang itu dengan warga media dan pendokong NGO berkaitan.
Pasangan Abdul Halim, 40, dari Sungai Besar dan Nurdalela, 34, dari Sabak Bernam tinggal di Meru mempunyai tiga cahayamata, Mohd Taufik, 14, Mohd Shahril, 12 dan Hanis Humaira, 2 tahun.
“Sebelum pergi suami menjemput semua berkumpul saudara mara termasuk ibunya, Siti Fathonah Murad, 54 dan beliau meminta maaf dan menyebutkan kesungguhannya untuk ke Gaza.
“Kali terakhir kami bercakap pada hari Khamis jam 10 malam ketika beliau akan berlepas ke Gaza dengan kapal Mavi Marmara dan katanya, akan hubungi lagi jika selamat di Gaza.
“Kami berpegang teguh dengan takdir-Nya, jika ada jodoh, kami jumpa lagi, kami redho dan bersedia hadapi apa sahaja kemungkinan, sebagai orang Islam, kita mesti ingat mati dan beliau meminta maaf pada semua,” ujarnya lagi.
Anaknya pula, Humaira yang juga kerap ditinggalkan kerana bapa aktif di lapangan berkata, “abah pegi kerja naik kapalterbang”’ lantaran sudah biasa kerana bapanya memang sebelum ini pergi pagi dan balik malam.
Puan Nurdalela pula bersyukur dan menyatakan terima kasih di atas sokongan kawan-kawan beliau dan suami yang datang menziarahi keluarganya siang semalam.
Kesempatan mendengar luahan rasa isteri Ketua Delegasi Malaysia, Haji Noorazman Mohd Shamsudin, Puan Mazlina Ghazali, Puan Rosfazilah dan Puan Nurdalela menyerlahkan kekuatan dalaman yang dimiliki.
Mereka masih mampu menzahirkan semangat kuat dan daya juang tinggi melalui perkataan mereka di hadapan hadirin termasuk warga media yang mengikuti perkembangan terkini di dalam sidang akhbar itu.
Memang ketika itu, nasib suami-suami mereka masih tidak dapat dipastikan sama ada selamat, tertembak atau diapa-apakan oleh zionis Israel.
Rosfazilah pula berkata, beliau memang sentiasa tabah apatah lagi suaminya, Jamuliddin asyik berkata-kata tentang ‘hendak syahid, hendak syahid’ sahaja.
“Saya pasti beliau tidak bergurau dalam hal-hal seumpama itu, jadi kami sekeluarga memang sudah pasrah dan menerima jika apa sahaja kemungkinan bakal berlaku.
Beliau menyebutkan pendirian suaminya tentang perjuangan Islam yang mereka bersama yakini ini akan berakhir dengan dua perkara sama ada syahid atau menang.
Menurutnya, suaminya sering mengingatkan tentang kematian yang mesti diingat setiap hari dan bukan hanya ketika berlakunya konvoi ini sahaja.
Namun bila terjadinya peristiwa ini, mereka sekeluarga lebih mendekatkan diri kepada ketentuan Allah SWT yang telah mengaturkan semua perkara di Luh Mahfuz.
“Anak-anak pula tidak banyak kerenahnya kerana mereka udah acap kali ditarbiyah oleh bapa mereka dan sering kali mengikuti program khusus bersama Unit Amal sejak kecil lagi.
“Jadi bila ditinggalkan begini, mereka sudah terasa seperti biasa sahaja sebab sudah biasa sangat ditinggalkan oleh bapa mereka yang berminat dengan kerja-kerja lapangan,” tegasnya bersemangat.

0 komen:

Lorem Ipsum

Our Blogger Templates

  © Free Blogger Templates Nightingale by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP