Ejen AS culik saintis Iran..
Rabu, 30 Jun 2010
TEHERAN – Iran akan menggunakan saluran perundangan untuk menjamin pembebasan seorang saintis nuklearnya, Shahram Amiri, yang dirakam dalam satu klip video yang disiarkan televisyen Iran menunjukkan beliau diculik oleh ejen Amerika Syarikat (AS).
Jurucakap Kementerian Luar, Ramin Mehmanparast berkata, video itu mengesahkan dakwaan Teheran bahawa Amiri ‘diculik perkhidmatan perisikan AS dan Arab Saudi’.
Ia merakamkan seorang lelaki yang dikenal pasti oleh saluran IRIB sebagai Amiri, yang mendakwa beliau kini ‘berada di bandar Tucson, Arizona’ selepas diculik oleh ejen AS semasa beliau dalam perjalanan ke Mekah di Arab Saudi pada Jun 2009.
Amiri mendakwa penculikan itu dilakukan dengan tujuan meningkatkan tekanan politik ke atas kerajaan Iran.IRIB melaporkan perkhidmatan perisikan Iran berjaya memperolehi video itu ‘menggunakan cara khas’ tanpa memberi sebarang penjelasan.
“Ini adalah tindakan tidak berperikemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa. Kami tidak akan membiarkan ini berlaku kepada rakyat kami dan akan menggunakan saluran undang-undang untuk membangkitkan isu ini,” jelas Mehmanparast pada sidang media mingguan yang disiarkan secara langsung.
Lelaki dalam rakaman itu dipaparkan berada di sebuah bilik tertutup, dilihat menggunakan perakam video dan memakai fon kepala.
Lelaki itu mendakwa ‘dibawa ke sebuah rumah di Arab Saudi sebelum disuntik dan apabila sedar dia sudah berada di atas pesawat menuju AS’ selain menerima tekanan dan penyeksaan moral paling teruk daripada mereka yang mengawalnya.
“Tujuan mereka adalah supaya saya muncul dalam temu ramah di rangkaian televisyen AS dengan menyatakan ‘Saya seorang yang penting dalam program nuklear Iran dan kini mahu meminta perlindungan AS’.
ABC News di AS pada Mac lalu melaporkan, seorang pakar nuklear Iran berusia awal 30-an yang hilang pada Jun 2009 selepas tiba di Mekah, telah berpaling tadah dan bekerjasama dengan Agensi Perisikan Pusat (CIA). - AFP
0 komen:
Catat Ulasan