Kisah Pemimpin Khilafah Islam Terakhir
Ahad, 23 Januari 2011
Antara lain tanda kejayaan Islam di benua Eropah ialah dengan berkembangnya wilayah kedaulatan Khilafah Othmaniah Turki. Selama berabad-abad, kerajaan Islam tersebut berjaya memantapkan pengaruhnya di Eropah Timur, Balkan, dan Mediterranean. Namun begitu selepas berabad-abad, pengaruh itu beransur pudar. Menjelang masa-masa kejatuhannya, muncul pemimpin Khilafah Othmaniah iaitu Sultan Abdul Hamid II. Dengan segala kuasa yang ada, ia cuba untuk terus mempertahankan pemerintahan Islam di wilayah-wilayah kekuasaannya dari bahaya yang semakin mengancam, khasnya dari kekuatan Barat dan Yahudi.
Kelahiran Khalifah
Sultan Abdul Hamid II dilahirkan pada hari Rabu, 21 September 1842. Nama lengkapnya adalah Abdul Hamid Khan II bin Abdul Majid Khan dan merupakan anak kedua Sultan Abdul Majid I (dari isteri keduanya).
Ibunya meninggal dunia semasa beliau berusia tujuh tahun. Abdul Hamid sejak muda, sudah boleh berbahasa Turki, Arab, dan Parsi di samping mengetahui bahasa Perancis. Dia juga gemar mempelajari beberapa buah buku kesusasteraan dan puisi.
Sewaktu orang tuanya, Sultan Abdul Majid meninggal dunia, bapa saudaranya, Abdul Aziz telah diangkat menjadi Khalifah. Abdul Aziz tidak terlalu lama memegang jawatan Khalifah. Dia dipaksa berhenti dari jawatannya dan selepas itu dibunuh oleh musuh politik Othmaniah.
Penggantinya adalah Sultan Murad, anak Sultan Abdul Aziz, namun dia pun disingkirkan dalam masa yang singkat kerana dianggap tidak layak. Pada tarikh 31 Ogos 1876, Sultan Abdul Hamid dilantik menjadi Khalifah menggantikan saudaranya, Murad V.
Umat memberikan baiat dan ketaatan kepadanya. Pada masa itu, dia telah berumur 34 tahun. Dari tahun 1877 hingga tahun terakhir memerintah pada 1909, dia tinggal di Istana Yildiz. Abdul Hamid menyedari, seperti yang diungkap dalam catatan hariannya, tentang pembunuhan bapa saudaranya dan pergantian kepimpinan yang selalu disebabkan adanya konspirasi menentang Daulah Islamiah (Negara Islam).
Para sejarawan mengkaji secara mendalam tentang perwatakan Abdul Hamid. Menurut mereka, Abdul Hamid mewarisi jawatan kepimpinan sebuah negara besar yang berada dalam keadaan tegang dan genting.
Dia juga menghabiskan masa lebih daripada tiga puluh tahun yang penuh dengan konspirasi, peperangan, revolusi, peristiwa-peristiwa dan perubahan-perubahan yang terus terjadi.
Diperalat oleh orang kepercayaannya sendiri.
Cubaan pertama yang dihadapi Abdul Hamid adalah Midhat Pasha (1822-1885). Ada dakwaan bahawa Midhat berasal dari kaum Yahudi Dunnama.
Midhat Pasha terlibat secara rahsia dalam usaha penyingkiran bapa saudaranya, Abdul Aziz. Tidak lama selepas dilantik sebagai Khalifah, Abdul Hamid melantik Midhat Pasha sebagai ketua Majlis Menteri-Menteri kerana Midhat Pasha amat terkenal pada masa itu.
Abdul Hamid memerlukan jaminan untuk pemerintahannya stabil. Midhat Pasha adalah gabenor yang cekap tetapi keras kepala. Sultan Abdul Aziz telah menjadi Khalifah dalam tahun 1861 dan disingkirkan dalam tahun 1876. Empat hari selepas disingkirkan, ia meninggal dunia. Ketika pemerintahan Abdul Aziz, banyak kemajuan telah dicapai.
Pasukan Khilafah Usmaniah membuat persiapan untuk menjadi pasukan ketiga terkuat di dunia dengan kekuatan tentera darat mencapai 700,000 orang. Sultan Abdul Aziz juga melawat Mesir, Perancis, Inggeris, dan Jerman.
Tujuan lawatan itu ialah untuk mempengaruhi Perancis supaya berpihak kepada Daulah Usmaniyah dan supaya Perancis tidak berpihak kepada Rusia. Tujuan lain adalah untuk menghimpunkan negara-negara Eropah untuk menentang Rusia.
Tidak lama kemudian, Inggeris mencadangkan diadakan pertemuan di Istanbul yang dihadiri oleh para duta kuasa-kuasa besar dengan tujuan untuk mewujudkan ‘perdamaian’ di Balkan. Perjanjian pertemuan akhirnya memaksa Khilafah Usmaniah untuk melaksanakan beberapa reformasi.
Maka, Midhat Pasha menjalankan reformasi-reformasi domestik tersebut. Termasuk di dalamnya pembentukan sebuah perlembagaan demokrasi dan undang-undang sekular.
Dikelilingi oleh negara-negara besar, undang-undang itu jelas bertentangan dengan Islam, yang jika dilaksanakan akan bermakna penghapusan sistem Khilafah dan bererti mewujudkan sebuah negara yang serupa dengan negara-negara Eropah lain.
Abdul Hamid, para ulama serta tokoh-tokoh Islam yang lain menentangnya. Khilafah menolak memenuhi desakan negara-negara besar. Inggeris berusaha gigih untuk menghancurkan Khilafah dan mereka berusaha untuk mempastikan pelaksanaan perlembagaan sekular yang didrafkan oleh Midhat Pasha. Untuk menghalang niat jahat ini, Abdul Hamid cuba mengurangkan populariti Midhat Pasha. Akhirnya dia berjaya melepaskan diri dari belenggu Midhat.
Midhat didakwa merancang pembunuhan Sultan Abdul Aziz. Seterusnya Abdul Hamid mengalihkan perhatian terhadap musuh luar negara Daulah Islam Usmaniah. Melalui kebijaksanaannya, dia mampu meramalkan bahawa revolusi komunis akan berlaku di Rusia dan akan membuat Russia lebih kuat dan lebih berbahaya.
Pada waktu itu Balkan yang merupakan sebahagian daripada wilayah kekuasaan Daulah Islam Othmaniah sedang berhadapan dengan dua bahaya iaitu Rusia dan Austria. Abdul Hamid berusaha membangkitkan penduduk Balkan dan menyedarkan mereka tentang bahaya yang bakal dihadapi. Dia hampir berjaya membuat perjanjian dengan negeri-negeri Balkan tetapi ketika perjanjian mencapai peringkat akhir, empat negeri Balkan mengambil keputusan lain dan mengenepikan Daulah Islam Usmaniah. Ini adalah disebabkan pengaruh Barat dan Russia. Abdul Hamid menyedari bahawa persekongkolan untuk memusnahkan Negara Islam Usmaniah lebih besar daripada yang disangkakan.
Persekongkolan itu melibatkan usaha dari dalam dan dari luar Negara Islam. Dari dalam, adalah Panglima Pasukan Awni Pasha yang cuba mengheret Daulah Islam Usmaniah ke dalam kancah perang Bosnia tanpa persetujuan Abdul Hamid. Abdul Hamid mengetahui jika terjadi peperangan, maka Rusia, Inggeris, Austria, Hungary, Serbia Montenegro, Itali, dan Perancis akan menyerang kerajaan Usmaniah secara serentak dan memastikan Bosnia dirampas. Kejatuhan Daulah Islam Othmaniah tinggal menunggu waktu.
Istana Yildiz , Pusat Pemerintahan Kerajaan Othmaniah
Kisah Pemimpin Khilafah Islam Terakhir Sambungan
Sambungan..Yahudi Mula ‘Menggigit’ Daulah Islamiah
Semua pihak mahukan sebahagian daripadanya, tidak ketinggalan kaum Yahudi. Orang-orang Yahudi yang menjadi warga Daulah Islamiah adalah pelarian dari negara-negara Eropah seperti Sepanyol dan Portugal selepas pemerintah Islam di Andalus dikalahkan oleh tentera Kristian. Pada tahun 1895, sebuah buku bertajuk Der Judenstaat (Negara Yahudi) karangan Dr Theodore Hertzl (1869-1904), seorang Zionis dari Hungary, diterbitkan.
Dalam buku itu disebutkan bahawa kaum Yahudi mesti mempunyai negara sendiri. Oleh itu, Yahudi lantas mengadakan pertemuan pertama di Switzerland pada 29-31 Ogos 1897 untuk meletakkan asas pembentukan negara Yahudi di Palestin. Selepas persidangan itu, pergerakan Yahudi semakin aktif. Ini menyebabkan Sultan Abdul Hamid mengeluarkan keputusan tahun 1900 untuk tidak membenarkan orang-orang Yahudi yang datang ke Palestin dan tinggal lebih daripada tiga bulan. Segala cara dilakukan kaum Yahudi untuk memujuk Sultan Hamid membatalkan keputusannya. Termasuk dengan menawarkan sejumlah pampasan dan pelbagai janji lain. Abdul Hamid enggan menerima tawaran tersebut. Ia menghantar jawapan kepada mereka melalui Tahsin Pasha:”Katakan kepada Yahudi biadap itu, hutang negara Usmaniah bukan sesuatu yang memalukan.”
Pada tahun 1902, Hertzl untuk kesekian kalinya menghadap Sultan Abdul Hamid dalam percubaan untuk melakukan rasuah. Diantara rasuah yang disogokkan Hertzl kepada Sultan adalah :
1. 150 juta poundsterling Inggeris khusus untuk Sultan.
2. Membayar semua hutang pemerintah Ustmaniyyah yang mencapai 33 juta poundsterling Inggris.
3. Membangun kapal induk untuk pemerintah, dengan kos 120 juta Frank
4. Memberi pinjaman 5 juta poundsterling tanpa bunga.
5. Membangun Universiti Ustmaniyyah di Palestin.
Semuanya ditolak Sultan, bahkan Sultan tidak mahu menemui Hertzl, diwakilkan kepada Tahsin Basya, perdana menterinya, sambil mengirim pesan,
“Nasihati Mr Hertzl agar jangan meneruskan rancangannya. Aku tidak akan melepaskan walaupun sejengkal tanah ini (Palestin), kerana Palestin bukan milikku. Tanah itu adalah hak umat Islam. Umat Islam telah berjihad demi kepentingan tanah ini dan mereka telah menyiraminya dengan darah mereka. Yahudi silakan menyimpan harta mereka!! Jika Khilafah Othmaniyah dimusnahkan pada suatu hari, maka mereka boleh mengambil Palestin tanpa membayar harganya. Akan tetapi, sementara aku masih hidup, aku lebih rela menusukkan pedang ke tubuhku daripada melihat Tanah Palestin dikhianati dan dipisahkan dari Khilafah Islamiyah. Perpisahan adalah sesuatu yang tidak akan terjadi. Aku tidak akan memulai pemisahan tubuh kami selagi kami masih hidup.”
Al-Quds (Jerusalem) menjadi sebaagian dari tanah Islam sewaktu Umar bin Al-Khattab menaklukkan kota itu dan aku tidak akan mencatat sejarah yang memalukan dengan menjual Tanah Suci kepada Yahudi dan mengkhianati kepercayaan rakyat.” Tahun 1901, Abdul Hamid mengeluarkan perintah melarang tanah di Palestin dijual kepada Yahudi.
Tindakan Abdul Hamid ini sesuai sabda Rasulullah SAW: ”Imam adalah perisai (pelindung) yang dibelakangnya kamu berperang dan mendapat perlindungan.” Dengan penyertaan Yahudi dan Zionis dalam konflik, maka barisan musuh Islam semakin kuat. Yahudi akhirnya meminta bantuan Inggeris untuk mewujudkan impian mereka. Setelah Abdul Hamid II digulingkan pada 13 Mac 1909 maka pembentukan negara Yahudi di Palestin semakin dekat. Inggeris kemudian melancarkan serangan terhadap Khilafah Usmaniyah dan inilah menjadi punca kejatuhannya. Tahun 1918, Sultan Abdul Hamid II meninggal dunia.
Peristiwa kejatuhan Sultan Abdul Hamid II
Malam itu, Sultan Abdul Hamid dan keluarganya dikunjungi oleh sekumpulan manusia yang tidak akan dilupakan oleh sejarah.
Emmanuel Carasso, seorang Yahudi warga Itali dan wakil rakyat Salonika (Thessaloniki) di Parlimen Othmaniyyah (Meclis-i Mebusan) melangkah masuk ke istana Yildiz. Turut bersama beliau adalah Aram Efendi, wakil rakyat Armenia, Laz Arif Hikmet Pasha, anggota Dewan Senat yang juga pemimpin Armada Othmaniyyah, serta Arnavut Esat Toptani, wakil rakyat bandar Daraj di Meclis-i Mebusan.
“Bukankah waktu seperti ini adalah waktu khalifah menunaikan kewajipannya terhadap keluarga. Tidak bolehkah kalian berbincang dengan aku pagi esok?”, Sultan Abdul Hamid tidak selesa menerima kedatangan mereka yang kelihatannya begitu tergesa-gesa.
Tiada simpati di wajah mereka.“Ummah telah memecat kamu”, Esat Pasha memberitahu. Angkuh benar bunyinya.Satu persatu wajah ahli rombongan itu diperhati oleh Sultan Abdul Hamid.
“Apakah mereka ini sedar dengan apa yang mereka lakukan?”, baginda berfikir.
“Jika benar Ummah yang menurunkan aku, mengapa kamu datang dengan lelaki ini?”, Sultan Abdul Hamid menundingkan jarinya kepada Emmanuel Carasso.
“Apa kena mengenanya Yahudi ini dengan Ummah?”, wajah baginda kemerah-merahan menahan marah.
Sultan Abdul Hamid memang kenal benar siapa Emmanuel Carasso itu. Dia jugalah yang bersekongkol bersama Theodor Herzl ketika mahu mendapatkan izin menempatkan Yahudi di Palestin dengan penuh licik lebih sedekad yang lalu (1898). Mereka menawarkan pembelian ladang milik Sultan Abdul Hamid di Sancak Palestin sebagai tapak penempatan Yahudi di Tanah Suci itu. Sultan Abdul Hamid menolaknya dengan tegas, termasuk alternatif mereka yang mahu menyewa tanah itu selama 99 tahun.
Pendirian tegas Sultan Abdul Hamid untuk tidak mengizinkan Yahudi bermastautin di Palestin, telah menyebabkan Yahudi sedunia mengamuk. Harganya terlalu mahal. Sultan Abdul Hamid kehilangan takhta, dan Khilafah disembelih agar tamat nyawanya.
“Sesungguhnya aku sendiri tidak tahu, siapakah sebenarnya yang memilih mereka ini untuk menghantar berita penggulinganku malam itu”, Sultan Abdul Hamid meluahkan derita hatinya di dalam diari baginda.
Perancangan untuk menggulingkan baginda sudah dimulakan lama sebelum malam itu. Beberapa Jumaat kebelakangan ini, nama baginda sudah tidak disebut di dalam khutbah.
“Walaupun engkau dipecat, nyawamu berada di dalam jaminan kami”, Esat Pasha menyambung katanya.
Malam itu juga, baginda bersama ahli keluarganya hanya dibenarkan membawa sehelai dua pakaian, dan mereka diangkut di dalam gelap menuju ke Stesyen Keretapi Sirkeci. Khalifah terakhir umat Islam, dan ahli keluarganya dibuang negara ke Salonika, Greece.
Gerombolan tentera kedengaran melangkah penuh derap ke istana. Meriam diletupkan sebagai petanda Sultan Mehmed V Resad ditabal menjadi raja boneka. Rasmilah malam itu Sultan Mehmed V Resad menjadi Khalifah ke 99 umat Islam semenjak Abu Bakr al-Siddiq r.a. Tetapi khalifah yang satu ini sudah tiada kuasa. Hanya boneka umpan menahan pemberontakan masyarakat terhadap pembubaran Khilafah Othmaniyyah.
“Entahlah, di saat hidup dan matiku tidak menentu, aku terasa begitu tenang dan aman. Seperti sebuah gunung besar yang selama ini menghempap dadaku, diangkat penuh kelegaan” kata Sultan Abdul Hamid di dalam diarinya.
Sultan Abdul Hamid mengusap kepala anaknya Abdul Rahim yang menangis ketakutan. Anak-anaknya yang lain turut menangis sama. Perjalanan dari Sirkeci Istanbul menuju ke Salonika di Greece penuh misteri.
“Sabarlah anak-anakku. Jika Allah mengkehendaki kematian bagi kita, bukankah kematian itu kesudahan untuk semua”, kata Sultan Abdul Hamid kepada sekalian kaum kerabat baginda.
Kereta api meluncur laju. Bumi khilafah ditinggalkan di belakang. Sejarah kegemilangan 600 tahun Bani Osman, berakhir malam itu. Palitan hitam yang mustahil untuk diputihkan kembali.
Lama benar baginda dan ahli keluarganya dikurung di istana Yahudi yang buruk itu. Mereka dikurung di dalam bilik tanpa perabot. Pintu dan tingkap istana, dilarang daripada dibuka. Hari demi hari, adalah kematian sebelum mati bagi baginda sekeluarga. Akhirnya pada tahun 1912, Sultan Abdul Hamid dibawa pulang ke Istanbul, dan anak-anaknya bercerai berai, dibuang ke Perancis sebagai pengemis dan pelarian yang merempat di jalanan.
Sultan Abdul Hamid dikurung di Istana Beylerbeyi selama 6 tahun.
0 komen:
Catat Ulasan