Kenali Brigade Izzuddin al Qassam / " Briged Al-Qassam ".
Selasa, 20 November 2012
JIKA :
~ Britain mempunyai British Special Air Service (SAS),
~ Amerika Syarikat dengan Navy Seals nya
dan
~ Israel dengan Shayetet 13,
Palestin mempunyai kelas tersendiri dengan tentera penggempurnya yang berani mati, Briged Ezzedeen Al-Qassam atau lebih dikenali sebagai Al-Qassam yang amat digeruni oleh rejim Zionis.
Al-Qassam, sebuah sayap tentera Hamas, dipelopori penubuhannya oleh pejuang Palestin seperti Sheikh Ahmad Yassin, Dr. Ibrahim Al-Maqadema dan Sheikh Salah Shehada pada tahun 1984.
Nama Al-Qassam adalah sempena nama pejuang yang syahid berdekatan Jenin pada tahun 1935, Ezzedeen Al-Qassam.
Baru-baru ini, penulis yang berada di Gaza atas tujuan rakaman siri dokumentari dijemput oleh kerajaan pemerintah Gaza, Hamas untuk mengunjungi pusat latihan Al-Qassam bagi menyaksikan satu demonstrasi latihan taktikal serangan briged itu. Difahamkan, peluang itu jarang sekali dibuka kepada rakyat Palestin apatah lagi orang luar.
Penulis diberi taklimat oleh komander yang tidak mahu dikenali atas tujuan keselamatan. Beliau berkata, briged elit itu dianggotai oleh pemuda berusia 30 tahun dan ke bawah sahaja.
"Objektif utama penubuhan Al- Qassam adalah mempertahankan tanah suci Palestin daripada penjajahan Zionis yang zalim, membebaskan tanah Palestin dan seluruh tanahnya yang dirampas di Tebing Barat serta memantapkan semangat jihad dalam kalangan orang Palestin," katanya.
Apabila ditanya jumlah tentera Al-Qassam pada masa ini, komander tersebut yang pada mulanya enggan menjawab memberitahu, bilangannya dalam lingkungan 25,000 orang.
Peraturan " Briged Al-Qassam ".
"Peraturan kami yang paling ketat ialah setiap tentera mesti solat lima waktu sehari secara berjemaah," ujarnya.
Tambah beliau, Al-Qassam juga mempunyai skuad wanita tetapi bukanlah barisan yang paling penting.
"Kami menggunakan wanita apabila keadaan memaksa. Contohnya, pernah sekali tentera kami dikepung oleh tentera Israel dalam sebuah masjid. Kami menghantar tentera wanita untuk masuk ke dalam masjid bagi menyerahkan baju lain kepada anggota yang terperangkap. Kemudian mereka berlakon keluar seperti orang biasa.
"Walaupun kami kehilangan tiga wanita dalam operasi itu, kami tetap berjaya kerana begitu ramai askar yang dapat diselamatkan," katanya.
Sudah menjadi perkara biasa apabila kedengaran letupan dan bunyi tembakan di Gaza bukan kerana serangan tentera Israel sebaliknya sesi latihan Al-Qassam.
"Di daerah Al-Zaytun, tentera Israel hanya memerlukan 10 minit untuk memasuki tanah Gaza dengan kereta kebal. Oleh itu, kami terpaksa bersedia setiap masa," kata seorang tentera Al-Qassam.
Briged ini juga terkenal dengan roket Al-Qassam, roket artileri buatan sendiri yang dikeluarkan dalam tiga model sepanjang tahun 2001 hingga 2011. Roket itu ditembak dari Gaza dan sering membawa kemusnahan yang dahsyat sehinggakan media Israel menggelarkan setiap roket yang memasuki Semenanjung Barat sebagai Qassam.
Penulis disajikan dengan satu demonstrasi selama lima minit dengan 20 tentera yang memainkan pelbagai peranan. Demo teknikal itu membabitkan dua kumpulan yang menyerang sebuah rumah kosong manakala sebuah kumpulan lain bertindak sebagai pasukan bantuan. Satu lagi pasukan akan memastikan tiadanya bantuan daripada tentera musuh (Israel).
Demonstrasi itu menggunakan peluru hidup, bom tangan, mesingan, senapang AK-47 dan roket grenad. Demonstrasi itu cukup membuktikan betapa hebatnya generasi muda ini dan wajarlah tentera Israel seramai 700,000 orang cukup gerun dengan Al-Qassam.
Sesudah sesi latihan itu, kesemua askar tersebut berkumpul dan bersujud syukur - satu amalan penting setiap kali sesudah satu peperangan melawan tentera Zionis.
Penulis juga dibawa berjumpa dengan beberapa tentera Al-Qassam sebelum mereka bergegas untuk menunaikan solat Asar. Namun, penulis diberitahu rakaman gambar tidak dibenarkan kerana ingin merahsiakan identiti setiap anggota mereka.
Penulis terkejut apabila mereka membuka topeng hitam mereka, kesemuanya mempunyai muka bersih dan bersinar, jelas nampak keikhlasan untuk menjadi tentera Islam yang tidak takut mati.
Salah seorang tentera bertanyakan negara asal penulis dan apabila disebut Malaysia, beliau menjawab: "Tanah ini milik kamu juga."
Jawapannya membuat penulis terkedu kerana maknanya sangat mendalam.
Sejak Intifada pada tahun 2000, seramai 800 askar Al-Qassam telah mati syahid. Bahkan apabila seseorang tentera Al-Qassam pulang daripada peperangan, mereka sering akan bertanyakan kepada diri sendiri -
'Mengapakah saya tidak Syahid?
0 komen:
Catat Ulasan