.:SELAMAT DATANG.:

Click Me~
"Selamat Datang ke Blog Tumpang Lalu "

Pengemis Kantoi Di Bazar Ramadhan

Ahad, 7 Ogos 2011


Besar ganjaran jika kita bersedekah di bulan puasa ni. Namun begitu ikhlaskah sedekah kita jika sebenarnya kita ditipu bulat-bulat. Kelmarin ada pendedahan rakyat Indonesia yang ‘bekerja’ sebagai pemandu orang buta menjual tisu sekitar KL. Gajinya sebulan ialah RM3-4 ribu dan boleh hantar balik ke Indon dan bina banglo di sana.
Tadi saya jalan-jalan ke blog Mazidul Akmal Sidek. Siapa tidak kenal Mazidul ni dengan rancangan 999 di TV 3 satu masa dahulu. Kali ni cerita Mazidul menerjah pengemis di Bazar Ramadhan
Jam 5.30 petang tadi saya berkunjung ke Bazar Ramadhan, Seksyen 7, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.
Bazar Ramadhan membuka peluang kepada penduduk tempatan mencari rezeki di bulan mubarak. Peniaga bertungkus-lumus menjual pelbagai jenis makanan dan minuman. Barangkali keuntungan harian diraih tidak mencecah ribuan ringgit tetapi mencukupi untuk menambah rezeki keluarga.
Hampir jam 6 petang, saya terlihat kelibat pengemis duduk tenang di tengah laluan bazar Ramadhan.  Sewaktu saya menghampirinya dia berkata …
“Kemboja! Kemboja!”
Biarpun hanya menggunakan bahasa isyarat, dia mendakwa kakinya kudung akibat terkena jerangkap samar di negara asal.
Sewaktu saya mula merakamkan gambar, dia kelihatan kurang selesa. Apabila ditanya berhubung tempat tinggal dan usianya, dia gagal berkongsi informasi terbabit berikutan kekangan bahasa.
Beberapa minit kemudian, dia mula bergerak, rentetan gambarnya saya rekodkan berikutan desakan hati kecil.
Pasti ramai berasa simpati melihat pengemis terbabit ketika dia cuba menyeberangi longkang kecil. Papan gelungsur buatan tangan terpaksa diangkat terlebih dahulu sebelum dia mengesut perlahan.
Ketika itu saya yakin, dia tidak menyedari setiap pergerakannya saya rakamkan dari jarak jauh.
Sewaktu beredar dari bazar, dia sempat berhenti di hadapan deretan kedai untuk mengira hasil kutipannya sejak awal petang. Perlahan tetapi berhati-hati, dia kemudian bergerak ke arah belakang kedai.
Saya mengekorinya dari jauh sambil terus merakamkan gambar.
Islam pada dasarnya tidak menggalakkan penganutnya hidup secara meminta-minta. Bagaimanapun melihatkan kecacatan lelaki itu, ramai pengunjung bazar tanpa teragak-agak menghulurkan derma seikhlas hati kepadanya. Ramadhan, sesungguhnya bulan untuk kita bersedekah.
Ops! Terlebih dahulu, mari bersama kita perhatikan gambar di bawah secara teliti.
Menarik? Pelanduk dua serupa?
Tumpukan perhatian kepada lelaki berbaju belang kelihatan berjalan laju ketika gambarnya saya rakamkan.
Ya, kejadian pelik. Perangai manusia kekadang lebih mengelirukan berbanding perlakuan entiti paranormal pernah saya rakamkan sebelum ini.
Saya difahamkan, dia datang mengemis di bazar terbabit menaiki teksi tetapi ketika gambar direkodkan, dia tidak menuju ke arah jalan utama atau perhentian kenderaan.
Sewaktu dia menghampiri van rosak diparkir, saya tercegat berdiri di hadapannya. Biarpun tersentak, dia tetap menguntumkan senyuman.
Papan gelungsur sebelum itu digunakannya dimasukkan ke dalam beg di capai dari bawah van.
Tadaaaaaaaaaa!
Dia kemudian saya  ‘jemput’ untuk kembali semula ke bazar tetapi kali ini lengkap berkaki. Melihat senyumannya sambil berdiri seperti manusia lain, beberapa peniaga kelihatan terpaksa menahan perasaan geram mereka.
Jam 6.28 petang, tiba-tiba dia mengeluarkan telefon bimbitnya sekaligus menghubungi seseorang. Malangnya, bahasa komunikasi mereka tidak langsung saya fahami.
Saya kemudian meminta pengemis itu menunjukkan kepada orang ramai, wang hasil kutipan di antara jam 4 dan 5.30 petang. Tanpa membantah, dia mengeluarkan beg kain selempang dari dalam bajunya.
Dia memerhatikan 2 remaja terbabit mengira wang terbabit, hasil simpati pengunjung melihat kaki kudungnya.
“Enam puluh ringgit, kalau campur duit syiling lebih lagi,” ujar remaja berbaju merah.

Itu jumlah ‘gajinya’, diraih kira-kira dalam tempoh 90 minit sahaja. Jumlah mungkin tidak mampu diraih peniaga tempatan dalam tempoh sama.

Melihat kopiah disumbatkan di poket lelaki itu, saya kemudian membacakan keretan terawal Al-Fatihah dan menyuruh dia menyambungnya. Namun dia tidak menunjukkan sebarang reaksi terhadap bacaan Ummul Kitab itu.
Terlintas di fikiran saya, adakah dia beragama Islam?
Mendengar saya membacakan Al-Fatihah, kenalan saya berkebetulan berdiri di kawasan berhampiran tersenyum lebar sambil merakamkan gambar saya dan pengemis terbabit.
Dia kemudian dinasihatkan agar tidak lagi mengulangi perbuatannya, memperdaya orang ramai.
Pengemis itu kemudian dibenarkan beredar.
Kali ini dia berjalan pantas menuju perhentian bas di kawasan berhampiran. Saya terus mengekorinya sambil merakamkan gambar.
Sebaik teksi ditahannya berhenti, dia terus melambaikan tangan kepada saya. Barangkali dia berasa lega terlepas begitu sahaja.
Melihat senyuman bak mengejek lelaki itu, hati tiba-tiba berasa geram, kesabaran saya tercabar. Lalu tanpa henti saya merakamkan gambar warga Kemboja itu.
Saya percaya tindakan itu sekaligus membuatkan pemandu teksi dinaikinya tidak berasa selesa. “Saya pun tahu dia nak pergi kemana. Dia kata sepuluh, sepuluh,” kata pemandu.
Akhirnya, kami difahamkan, pengemis itu menetap di Damansara Damai.
“Saya tak nak bawa dialah,” ujar pemandu.
Lantas lelaki itu diarahkan keluar dari teksi.


Sebaik teksi beredar, saya mendekatinya buat kali terakhir. Dia masih tersenyum. Beberapa saat kemudian warna pipi kiri kelihatan berubah merah.
Barangkali akibat dia berasa malu atau kerana terkena tiupan kencang ‘bayu senja’ bulan Ramadhan. Untuk rekod, suatu ketika dahulu, warga Kemboja berhijrah ke Malaysia akibat bahana menimpa negara mereka. Sebilangan warga sama, kini kaya raya, hidup aman dan tenteram berkongsi negara ini bersama kita.
Kita akur, majoriti rakyat Malaysia pemurah tetapi usah sampai kita diperkotak-katik dan diperbodohkan di hadapan mata.
Bertindaklah apabila difikirkan wajar, bukan sepi membisu seribu bahasa.
Itu pesan saya.
Kemas Kini
Saya tertarik dengan komen cintahatikamu:) , dilontarkan di bahagian komen di bawah.
Katanya …
‘Ini bkn brniat mmalukan org ke? yes, die wat salah, tp mengaibkan, 1 yg kurang btol jgk.. :) just pandangan…’
Begini penjelasan saya …
Ya, semalam saya mempunyai pilihan untuk tidak mendedahkan perbuatan pengemis terbabit. Dalam erti kata lain, selepas membuat intipan dan merakamkan puluhan gambar, dia dibiarkan pergi begitu sahaja.
Justeru, tidak perlu saya nukil dan kongsikan di tampalan ini berhubung penemuan terbabit?
Bukankah tindakan seperti itu akan memberikan dia peluang untuk terus memperdayakan orang ramai di lokasi sama? Sedangkan dengan tindakan tegas semalam, BUKAN menjamin pengemis warga asing itu akan memberhentikan tipu muslihatnya di lokasi lain.
Cintahatikamu, saya amat menghormati pembaca melontarkan pandangan di blog ini tetapi biarlah pandangan itu  membina. Ertinya, sertakan cadangan awak fikirkan wajar. Adakah awak mencadangkan gambarnya tidak dirakamkan? Adakah awak berasa wajar kegiatannya dan wajahnya tidak dibongkar sekaligus didedahkan? Adakah awak ingin dia dilepaskan begitu sahaja sambil saya mengusap-usap dahinya?
Sila jelaskan.
Untuk rekod, selain pengemis warga asing terbabit, lelaki warga tempatan cacat penglihatan, penjual tisu, juga berada di lokasi sama.
Bagi saya, dia berniaga. Tisu ditukar ganti dengan wang tunai disumbangkan oleh orang ramai. Samada pengunjung ingin mengambil tisu dihulurkannya atau tidak, terserah kepada mereka memiliki pilihan dalam proses membabitkan trasaksi barangan dan wang itu.
Hemat saya, tindakan penjual tisu buta di atas jauh berbeza berbanding perlakuan pengemis warga Kemboja itu.
Biar saya ringkaskan maksud ayat di atas melalui 5 gambar di bawah.

Kredit to blog Mazidulakmal.com
Posted @ www.isuhangat.net

0 komen:

About

Lorem Ipsum

Our Blogger Templates

  © Free Blogger Templates Nightingale by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP