Turunnya Jesus 'Alaihi al-Salam
Ahad, 18 April 2010
Antara tanda-tanda kiamat adalah turunnya Nabi Isa a.s. Pembaca yang dihormati sekelian, sering kali kita mendengar cerita-cerita berkaitan tanda-tanda berlakunya pengakhiran tamadun dunia (qiamat). Pelbagai versi diperdengarkan dan dipertontonkan termasuklah tambahan-tambahan bagi memberi keseronokan kepada pendengar untuk mendengarnya sedang ia tidak pula diceritakan oleh Nabi dalam hadis-hadis baginda s.a.w. JTR suka untuk menasihatkan untuk kita sama-sama kembali kepada sumber-sumber Islam iaitu al-Quran dan al-Sunnah yang sahih.
1. Firman Allah ;
[[Sesungguhnya dia (Nabi Isa a.s) adalah tanda kepada Kiamat]] Az-Zukhruf : 61
2. Firman Allah ;
[[Sesungguhnya tiada dari kalangan Ahli Kitab melainkan akan beriman dengannya (Nabi Isa a.s) sebelum matinya, dan pada hari Kiamat dia akan menjadi saksi kepada mereka]] An-Nisaa : 159
3. Dari Abi Hurairah r.a, sabda Rasulullah s.a.w :
(( Demi jiwaku yang berada dalam genggamanNya, sangat hampir akan turun di kalangan kamu (Isa) ibni Maryam sebagai seorang pemimpin yang adil, lalu dia akan mematahkan salib, membunuh khinzir, menghapuskan jizyah, tidak akan (Nabi Isa) menerimanya dari kalangan orang kafir dan akan melimpahnya harta sehingga tiada seorang pun yang menerimanya sehingga satu sujud (di waktu itu) lebih baik dari dunia dan seluruh isinya)) (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Beberapa Sifat Nabi Isa a.s
1. Dari Jabir bin Abdillah r.a sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda : (( Dihadapkan kepadaku para nabi… dan aku melihat kepada Isa bin Maryam, lalu aku dapati orang yang paling hampir menyerupainya ialah Urwah bin Mas’ud)) Riwayat Muslim
2. Dari Abi Hurairah r.a sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda : (( Para nabi itu adik-beradik berlainan ibu, ibu-ibu mereka ramai tapi agama mereka satu, sesungguhnya aku yang paling berhak dengan (nabi) Isa bin Maryam kerana sesungguhnya tiada di antaraku dan dia nabi (yang lain), dan sesungguhnya dia akan turun, apabila kamu melihatnya maka kenalilah dia ; seorang lelaki yang tegap (tidak terlalu rendah dan tidak terlalu tinggi), antara kemerahan dan putih (kulitnya), dia memakai dua helai baju yang berwarna sedikit kekuningan, seakan-akan menitis dari rambutnya air walaupun tidak basah…)) Riwayat Ahmad dan Abu Daud
Tempat Di Mana Nabi Isa Akan Turun
Dari Nawwas bin Sam’an r.a Rasulullah s.a.w bersabda : (( Ketika demikian (Dajjal sedang berkuasa), lalu Allah utuskan Isa bin Maryam maka dia akan turun di sebuah menara putih di timur Damsyik di antara dua helai baju berwarna kekuningan dalam keadaan meletakkan kedua tapak tangannya di atas sayap dua malaikat, apabila dia menganggukkan kepalanya menitis air darinya dan apabila dia mengangkatnya gugur air seakan-akan mutiara, maka tiada seorang kafir pun yang dapat mencium nafasnya melainkan akan mati dan nafasnya (Nabi Isa) berakhir sejauh pandangannya…)) Riwayat Muslim
Hikmah Dari Turunnya Nabi Isa a.s
Sebahagian dari kalangan ulama telah menyebut tentang hikmah dari penurunan Nabi Isa a.s, antaranya ialah :
- Sebagai sanggahan terhadap bangsa Yahudi yang telah mendakwa bahawa mereka telah membunuh Nabi Isa a.s. Lalu Allah menurunkan Nabi Isa a.s sebagai jawapan kepada pembohongan mereka bahkan Nabi Isa a.s akan membunuh pemimpin mereka iaitu Dajjal.
- Nabi Isa a.s telah mendapati kelebihan yang banyak telah disediakan oleh Allah kepada Ummat Nabi Muhammad s.a.w sebagaimana yang terdapat dalam Injil, justeru dia memohon dari Allah agar dijadikan oleh Allah sebahagian daripada mereka.
- Nabi Isa a.s akan diturunkan oleh Allah sebelum dari ajalnya agar dia dimatikan di bumi kerana tiada makhluk yang dicipta dari bumi melainkan akan dimatikan di bumi.
- Sebagai hujjah yang menyangkal pendustaan Kristian bahawa Nabi Isa a.s anak Allah. Bahkan nabi Isa a.s akan menghapuskan semua agama selain Islam.
- Nabi Isa a.s adalah pembawa khabar gembira dengan kedatangan Nabi Muhammad s.a.w, maka dia mendapat keistimewaan tersebut berdasarkan hadith Rasulullah s.a.w : ((Akulah yang lebih berhak dengan Isa bin Maryam, sesungguhnya tiada di antaraku dan dia seorang nabi pun)). Riwayat Bukhari dan Muslim
Perkara Yang Akan Berlaku Di Zaman Nabi Isa a.s
- Pembunuhan Dajjal. Sewaktu Dajjal dan pengikutnya sedang berkuasa, Nabi Isa a.s akan turun sebagai pemusnah kerajaan Dajjal dan akan membunuh Dajjal serta pengikutnya.
- Kemusnahan Yakjuj dan Makjuj.
- Terhapusnya semua agama melainkan Islam. Nabi Isa a.s akan mematah-matahkan salib, membunuh khinzir dan menghapuskan Jizyah terhadap orang kafir.
- Terangkatnya permusuhan dan persengketaan sesama manusia, lantas keamanan dan kedamaian akan tersebar di antara semua makhluk.
Tempoh keberadaan Nabi Isa a.s.Setelah Turunnya dan Kewafatannya
Terdapat dua riwayat sahih yang menyatakan tempoh keberadaan Nabi Isa a.s di bumi selepas turunnya. Yang pertama menyebut 40 tahun dan yang kedua menyebut 7 tahun. Sebahagian dari kalangan ulama mentarjihkan riwayat 40 tahun berdasarkan ianya riwayat tambahan dari perawi yang thiqah dan penafsiran Abi Hurairah terhadap ayat Al-Quran tentang Nabi Isa.
Tiada riwayat yang jelas tentang di mana Nabi Isa a.s akan wafat. Namun ada yang mengatakan bahawa beliau akan wafat di Madinah dan akan dimaqamkan bersama Nabi Muhammad s.a.w. Wallahu A’lam.
0 komen:
Catat Ulasan